Berita Semasa  
e-Agency
  Berita 


SEKALUNG TAHNIAH - BANDARAYA KUANTAN
23/02/2021 by Mohd Fahmi Bin Abdul Ghani
Kuantan, 22 Februari - Tanggal 21 Februari 2021 menjadi satu tarikh penting dalam catatan sejarah negeri Pahang Darul Makmur apabila ibu negeri, Kuantan telah dimasyhur sebagai sebuah Bandaraya oleh Yang di-Pertuan Agong Al - Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kuantan sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan adalah bandar kedua di Pantai Timur diiktiraf sebagai Bandaraya selepas Kuala Terengganu.



Menyingkap sejarah tempatan, Kuantan dikatakan telah wujud sejak 1850-an lagi dan ianya dikenali sebagai Kampung Teruntum yang terletak di hulu Sungai Kuantan.Penempatan awal bandar Kuantan bermula di Tebing Sungai Kuantan dan pada ketika itu tertumpu kepada aktiviti perikanan dan perniagaan.

Pada awal 1900, sistem berkerajaan tempatan telah diwujudkan di Kuantan bermula pada tahun 1913 dengan penubuhan Kuantan Sanitary Board.



Semasa era residensi British di Tanah Melayu, ibu Negeri Pahang dipindahkan dari Kuala Lipis ke Kuantan pada 27 Ogos 1955 lalu menjadikan Kuantan sebagai pusat pentadbiran yang baharu.

Malah dengan tertubuhnya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada tahun 1979, Kuantan terus berkembang sebagai pusat pentadbiran, ekonomi, perindustrian dan pelancongan.



Kini, sebagai sebuah Bandaraya dengan populasi lebih daripada 500,000 sehingga tahun 2020, kerajaan negeri akan terus menumpukan kepada usaha peningkatan kesejahteraan dan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat.



Tambahan pula, Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra adalah antara infrastruktur terbaharu di bandar ini yang akan menjadi destinasi pelancongan dan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.



Semoga Bandaraya Kuantan terus maju dan sejahtera.

kembali
 
 


Copyright © 2024 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang e-Agency Services. All rights reserved.