Berita Semasa  
e-Agency
  Berita 


PKNP MENANDATANGANI PERJANJIAN BERSAMA IBN LOVOCEAN SDN BHD BERNILAI RM 90 JUTA
19/02/2022 by Mohd Fahmi Bin Abdul Ghani




Gelang Patah, 19 Februari - Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Yang Hormat Dato’ Mohd Faizal bin Jaafar semalam menandatangani Memorandum Perjanjian bersama IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura di Hotel Forest City Golf Resort, Johor.

Memorandum Perjanjian yang melibatkan pelaburan berjumlah RM 90 juta ini termasuk Projek Pelancongan Rompin Eco Tourism Park, berkeluasan 231 ekar di sempadan Rompin - Pekan, Pahang Darul Makmur.

Majlis menandatangani ini disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Yang Berhormat Dato Sri Dr Sallehuddin bin Ishak dan Exco - Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Perjanjian yang ditandatangani ini merupakan sebahagian dari Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pelaburan di antara Badan Berkanun Negeri Pahang dengan syarikat - syarikat pelabur dari Singapura, Thailand, China dan Korea Selatan yang melibatkan jumlah pelaburan bernilai RM 5.5 bilion.

Pada majlis yang sama, beberapa memorandum perjanjian telah ditandatangani termasuk TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) bersama Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea Selatan bernilai RM 4.21 bilion yang melibatkan cadangan Pembangunan Janakuasa Elektrik 1,200MW berkeluasan 100 ekar di Tanjung Agas, Pekan, Pahang Darul Makmur.

Turut hadir adalah Pengurus Perindustrian Tuan Haji Md Daud bin Abdul Rahman dan Penolong Pengurus Perindustrian, Puan Dhaleazafarina binti Md Zabani.

kembali
 
 


Copyright © 2024 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang e-Agency Services. All rights reserved.