Berita Semasa  
e-Agency
  Berita 


PROJEK KILANG PELURU BAKAL BAWA LIMPAHAN EKONOMI KEPADA PENDUDUK LIPIS
17/10/2022 by Mohd Fahmi Bin Abdul Ghani





Lipis, 17 Oktober - Projek Kilang Peluru yang akan dibangunkan oleh anak tempatan, Ketech Asia Sdn Bhd dijangka mengubah landskap sosioekonomi dan akan membawa limpahan ekonomi khususnya kepada penduduk di daerah Lipis, Pahang, kata YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.


Malah, kerajaan Pahang sedang bekerja keras untuk membawa pelaburan ke Pahang Barat bagi mengimbangi pembangunan di seluruh Negeri Pahang.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Kilang Industri Pertahanan (Kilang Peluru Ketech Asia) pada 16 Oktober 2022 di Dewan Orang Ramai Kechau Tui, Lipis, Pahang Darul Makmur.


Projek Kilang Peluru ini melibatkan anggaran pelaburan berjumlah RM 120 juta dan pembinaan fasa 1 kilang yang melibatkan bangunan utama dijangka siap pada Jun 2023. Malah, kilang ini mensasarkan 300 peluang pekerjaan awal kepada orang ramai terutama kepada masyarakat tempatan.

Pada majlis ini turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara PKNP dan Ketech Asia Sdn Bhd untuk projek kilang industri pertahanan (Kilang Peluru Ketech Asia).


PKNP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YH. Dato' Mohd Faizal bin Jaafar dan Pengurus Perindustrian, Tuan Haji Md Daud bin Abdul Rahman manakala Ketech Asia diwakili oleh Penasihat Ketech Asia, Datuk Mohamed Aizuddin bin Mohamed Khairi dan Pengarah Ketech Asia, Encik Mohd Nahar bin Mohd Nasir.

Dengan terbinanya kilang Ketech Asia di Lipis akan menjadi pemangkin dalam usaha mengalakkan pemain - pemain industri berteknologi tinggi yang lain untuk turut bertapak di kawasan ini sambil menjemput pemain industri pertahanan serta pemain industri berat yang lain untuk beroperasi dan bertapak bersama - sama di Lipis.


Secara tidak langsung, ia dapat mengembangkan industri pertahanan negara disamping menjaga, mengukuhkan pertahanan negara tanpa bergantung kepada negara luar.

Dengan wujudnya kawasan industri pengilangan di kawasan ini akan memberi peluang pekerjaan dan melahirkan tenaga mahir anak tempatan di Lipis disamping mempertingkatkan lagi ekonomi Negeri Pahang.


Hadir bersama ke majlis ini adalah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 merangkap Ahli Parlimen Lipis, Dato' Sri Abdul Rahman bin Mohamad, Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato' Dr. Sallehuddin bin Ishak,Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), YBhg. Datin Hajah Noraskin binti Jamaludin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Encik Mohd Razif bin Abdul Malek dan Pengurus - Pengurus bahagian yang terlibat.

kembali
 
 


Copyright © 2024 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang e-Agency Services. All rights reserved.