Berita Semasa  
e-Agency
  Berita 


MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN ANTARA PKNP DAN MHT SILICA SDN. BHD.
29/12/2022 by Mohd Fahmi Bin Abdul Ghani




Kuantan, 27 Disember - Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan MHT Silica Sdn. Bhd. (MSSB) telah memeterai Perjanjian Pajakan pada 27 Disember 2022 bagi tapak seluas 15.00 ekar di Lot 5A, 5B, dan 5C di Kawasan Perindustrian Harbour Park, Tanjung Gelang, Mukim Sungai Karang, Daerah Kuantan, Pahang Darul Makmur selama 15 tahun bermula Januari 2023.

Majlis Menandatangi Perjanjian Pajakan tersebut telah disempurnakan oleh YH. Dato' Mohd Faizal bin Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif dan Puan Nadiatul Amaleen binti Muhammad Husain Tan, Pengarah Syarikat MSSB.

Sesi tersebut turut disaksikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Projek Pembinaan Kilang Pemprosesan Silika akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.

Negeri Pahang telah dipilih sebagai lokasi seterusnya untuk syarikat MSSB mengembangkan lagi perniagaannya kerana mineral yang terdapat di Negeri Pahang adalah antara yang terbaik.

Syarikat MSSB turut mempunyai kilang pemprosesan silika di Negeri Johor, Kedah dan Perak. Dengan nilai pelaburan awal sebanyak RM200 juta, projek ini dijangka akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih 1,000 orang penduduk tempatan dari peringkat tenaga mahir dan separa mahir, menaikkan taraf ekonomi masyarakat setempat dan menjadikan Negeri Pahang sebagai salah satu pengeluar pasir silika terbaik di dunia.

Dianggarkan jumlah pengeluaran silika adalah di antara 500,000 tan hingga 1 juta tan sebulan serta menjamin pulangan berjumlah RM30 juta hingga RM50 juta setahun kepada Negeri Pahang.

kembali
 
 


Copyright © 2024 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang e-Agency Services. All rights reserved.